[MS] Malek Bennabi's Historical Context and Historiography of the 20th Century
Abstract
Penjajahan Barat ke atas dunia Islam pada awal abad ke-20 menyaksikan berlakunya ketidakstabilan dalam sistem kehidupan masyarakat Islam akibat kejatuhan menyeluruh kerajaan pusat Turki Uthmaniyyah 1923. Sehubungan itu, pandangan al-Buti dalam buku ‘Manhaj al-Hadharatul Insaniah Fi al-Quran’ (1998) yang menghuraikan persoalan peradaban Islam dengan unsur-unsurnya menyebutkan beberapa kenyataan bahawa Malek Bennabi (1905-1973) merupakan satu-satunya pemikir Islam yang memberi respon khusus mengenai perkembangan itu melalui karya-karyanya. Justeru, kajian berbentuk kualitatif ini dilakukan bagi meneliti semula konteks sejarah Malek Bennabi. Selain itu, kajian ini juga bertujuan mengklasifikasikan genre-genre historiografi Bennabi serta menentukan bilangan terjemahannya berdasarkan jadual dan gambarajah. Data kajian dikumpul menggunakan kaedah dokumentasi dan pensejarahan berdasarkan korpus autobiografi Bennabi dan historiografinya. Dalam proses analisis data pula, mengggunakan dua kaedah iaitu kaedah analisis isi kandungan dan analisis deskriptif. Hasil penelitian mendapati Malek Bennabi merupakan tokoh intelektual Islam yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai disiplin dan menjadi pejuang disebalik tabir dalam masyarakat Algeria pada abad ke-20. Selain itu, konteks sejarah Bennabi dari segi sosial, politik dan intelektual memaparkan sepanjang kehidupannya ditempuhi dengan pelbagai cabaran terumatanya di Algiers, Paris dan Kaherah. Beliau lebih menumpukan genre ketamadunan dalam penulisannya. Selain ilmu saintifik, penguasaan Bennabi turut menghasilkan sejumlah karya-karya sosial seperti tafisr, sosiologi, psikologi, falsafah dan ekonomi. Maka, hal ini menyebabkan pemikiran dan analisisnya dalam historiografinya nampak lebih sistematik, komprehesif dan ideal. Keseluruhan historiografi Malek Bennabi yang berkembang selepas kematiannya menjustifikasikan bahawa karya sejarah beliau perlu dipetakan dalam kalangan tokoh-tokoh pembaharuan dalam dunia Islam.






