Kajian Tematik Faktor Intrisik Tingkah Laku Seksual Individu Austisme
Abstract
Autisme adalah gangguan perkembangan neurologikal yang memberi kesan kepada tingkah laku individu yang mengalaminya. Spektrum gangguan ini boleh dikenal pasti melalui dua ciri utamanya iaitu kesukaran melaksanakan interaksi dan komunikasi sosial serta tingkah laku yang terhad dan berulangan. Walaupun tiada hubungan yang jelas antara autisme dan tingkah laku seksual namun terdapat spekulasi bahawa ciri-ciri autisme boleh menyeret individu autisme dalam sistem keadilan jenayah melalui tingkah laku seksual yang tidak sepatutnya dilakukan. Tidak ada sorotan literatur secara sistematik yang telah dilakukan untuk membincangkan berkenaan faktor individu autisme bertingkah laku seksual, justeru kajian ini dilakukan dengan kepercayaan bahawa terdapat faktor yang menyebabkan individu autisme melakukan tingkah laku seksual yang tidak sepatutnya. Artikel ini bertujuan untuk mensintesis sorotan literatur daripada 2000 hingga 2019 menggunakan ATLAS.ti 8 berkenaan faktor intrinsik yang menyumbang kepada tingkah laku seksual dizahirkan secara yang tidak sepatutnya oleh individu autisme. Carian kata kunci, diikuti oleh saringan menggunakan kriteria daripada SCOPUS, Science Direct dan Mendeley, mengidentifikasikan 28 artikel jurnal yang dikaji semula. Walau bagaimanapun, selepas proses inklusif dan eksklusif, hanya 23 artikel sahaja yang digunakan sebagai artikel akhir untuk disemak semula. Kajian tematik 23 artikel ini mengenal pasti 41 kod awal berkenaan faktor intrinsik individu autisme melakukan tingkah laku seksual yang kemudiannya dikumpulkan dalam 4 kumpulan iaitu ciri autisme, kebutaan minda, komorbidi yang dialami dan proses transisi kedewasaan yang tidak difahami. Manfaat kajian ini dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang individu autisme sejajar dengan hasrat kerajaan memberi perhatian terhadap komuniti ini.






