Motivasi Penglibatan Sukarelawan dalam Aktiviti Kesukarelawanan Mahasiswa Universiti Awam [Volunteerism Motivation in The Voluntary Activities Involvement of Public Universities Students]
Abstract
Kesukarelawanan merujuk kepada satu bentuk aktiviti sukarela tanpa melibatkan unsur-unsur
paksaan, tidak bermatlamat untuk mendapat ganjaran material atau balasan, aktiviti yang
mendatangkan manfaat kepada sukarelawan dan pihak yang dibantu, aktiviti yang dilakukan
secara formal atau tidak formal serta aktiviti yang dilakukan secara individual atau kolektif.
Kepentingan sektor kesukarelawanan kepada pembangunan diri mahasiswa menyebabkan
kebanyakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada di Malaysia atau di luar negara mula
menerapkan unsur-unsur kesukarelawanan dalam polisi pendidikan mereka. Penglibatan
mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan didorong oleh pelbagai faktor sama ada digerakkan
oleh motivasi altruistik mahupun motivasi egoistik. Walau bagaimanapun, motivasi individu
bukan sesuatu yang statik dan sentiasa berubah-ubah mengikut kepada keperluan, kehendak
dan situasi seseorang individu. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji motivasi
yang mempengaruhi penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan. Motivasi ini
dilihat dari dua aspek iaitu motivasi altruistik dan motivasi egoistik melibatkan enam dimensi
iaitu motivasi nilai, kefahaman, kerjaya, sosial, perlindungan dan pengukuhan. Kajian ini
menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah survey secara bersemuka melibatkan 400
orang mahasiswa yang aktif melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan. Hasil kajian
dianalisis menggunakan perisian SPSS dalam bentuk deskriptif. Input kajian ini diharapkan
dapat menjadi indikator berguna kepada pihak berkepentingan dalam usaha untuk
membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda khususnya mahasiswa.






