Aplikasi Pedoman Nabawi dalam Pendidikan Kanak-Kanak Terhadap Pencegahan Ketagihan Gajet [The Management of Gadget Addiction among Children Based on the Guidance of the Prophet Muhammad PBUH]
Abstract
Pada hari ini, kemajuan teknologi berkembang pesat ke seluruh dunia. Termasuk negara Malaysia.
Teknologi pada umumnya banyak memberi impak yang positif terhadap kelangsungan hidup
masyarakat seharian seperti memenuhi keperluan dan kehendak manusia. Salah satu teknologi yang
sedang mendapat perhatian masyarakat termasuk kanak-kanak pada hari ini ialah gajet. Penggunaan
gajet ini kadang-kadang menyebabkan masyarakat menjadi ketagih dalam menggunakannya sekiranya
tidak dikawal. Situasi ini juga turut memberi kesan kepada kanak-kanak kerana kanak-kanak juga
termasuk mereka yang mudah ketagih dalam menggunakan gajet. Walaupun penggunaan gajet
memberikan kebaikan tetapi apabila penggunaannya secara melampau dan tidak terkawal ini akan
memberi kesan buruk kepada kesihatan dan juga moral. Oleh itu, terdapat dua objektif utama artikel ini
ditulis.Pertama, menjelaskan keburukan ketagihan gajet terhadap kanak-kanak dan objektif kedua pula
adalah menganalisis peranan tarbiyah Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anak dan aplikasi
terhadap ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Bagi mencapai objektif-objektif tersebut, maka
kaedah dokumentasi dijalankan. Data-data tersebut dikumpulkan dan dianalisis berdasarkan analisis
kandungan bagi mengaplikasikan kaedah tarbiyah Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anak bagi
mengatasi masalah ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Dapatan kajian ini mendapati bahawa
terdapat tiga cara utama Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anak yang wajar ditiru oleh ibu bapa
dalam mengatasi ketagihan anak-anak seperti ibu bapa menjadi contoh teladan kepada anak-anak,
berkomunikasi dengan anak dan pemilihan kawan-kawan bagi anak.






