Isu-Isu Keetikaan dalam Penulisan Akademik Berkumpulan [Unethical Issues on Academic Writings Group]

  • Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Wan Nur Izzati Wan Nor Anas Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Roslan Umar Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Mohd Khairul Amri Kamarudin Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Abdul Hanis Embong Universiti Malaysia Terengganu

Abstract

Di dalam dunia akademik, individu dan penerbitan melalui penulisan akademik tidak boleh
dipisahkan. Melalui penulisan akademik, akademia dapat meningkatkan prestasinya dan
meningkatkan keterlihatan mereka dalam dunia akademik. Walau bagaimanapun, untuk
menerbitkan sebuah penulisan akademik adalah tidak mudah. Hal ini memadangkan penulisan
akademik bersifat teknikal dan perlu melalui proses yang panjang. Malah, penulisan akademik
terikat dengan beberapa etika yang perlu diikuti. Salah satunya adalah etika dalam perletakan
nama pengarang atau pengkreditan nama pengarang di dalam penulisan akademik. Walau
bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat beberapa bentuk kecurangan yang dikenal pasti dalam
penulisan akademik. Antaranya adalah perletakan nama pengarang secara stidak beretika.
Kecurangan ini sudah tentu memberi impak yang tidak baik dan negatif terhadap dunia
kesarjanaan kerana mereka yang berada dalam dunia kesarjanaan ini dikatakan mempunyai sifat
integriti yang tinggi. Oleh itu, terdapat dua persoalan yang timbul dalam penulisan akademik.
Pertama, adakah penulisan akademik terikat dengan etika-etika penulisan akademik? Kedua,
Apakah bentuk-bentuk kecurangan dalam penulisan akademik? Bagi menjawab persoalan
tersebut, terdapat dua objektif utama dalam menyelesaikan persoalan tersebut. Pertama,
menjelaskan etika penulisan akademik berkumpulan. Kedua, menjelaskan bentuk-bentuk
kecurangan dalam penulisan akademik. Bagi mencapai kedua-dua objektif ini, kaedah
dokumentasi dijalankan. Data-data yang dikumpulkan ini dianalisis oleh analisis kandungan.
Dapatan kajian ini mendapati bahawa penulisan akademik terikat dengan etikanya. Salah
satunya adalah meletakkan nama pengarang atau kumpulan pengarang yang menyumbang
kepada penghasilan penulisan akademik. Walau bagaimanapun terdapat dua bentuk kecurangan
akademik antaranya meletakkan nama individu sebagai pengarang walaupun tidak memberi
sumbangan terhadap penulisan dan tidak meletakkan nama pengarang yang menyumbang
dalam penulisan. Amalan ini menyalahi etika penulisan akademik.

Published
2021-06-21